Pages

Tuesday, January 5, 2010

Mengarut Sambil Memformat

Sementara aku memformat laptop si Farah yang bermasalah ini, aku terfikir untuk menulis blog (bukan Farah yang bermasalah, laptop dia).

Aku manusia. Kita manusia. Memang itu hakikat. Aku seorang pelajar. Begitu juga kebanyakan yang membaca blog ini. Kadang-kadang aku terfikir. Mengapa kita harus belajar di universiti? Mengapa ketika kita masih lagi hingusan ibubapa menyuruh kita ke sekolah. Sebilangan selalunya berkata, "Jadilah orang yang berguna." Atau "Belajarlah rajin-rajin, nanti dapat gaji besar." Atau "Ubahlah kehidupan kita." Atau "Kau malas-malas begini nanti hendak jadi apa?" Dan pastilah banyak lagi.

Fikirkan sekarang. Sebagai seorang pelajar yang masih belajar kini, apa yang sebenarnya kita mahukan. Kadang aku terfikir, apa yang sebenarnya aku lakukan? Adakah sebenarnya aku belajar sekadar untuk terus hidup dan meneruskan legasi keturunan? Tidaklah semudah itu, aku pasti kamu juga berfikir sama. Nanti aku ingin membeli komputer yang boleh mampu menampung permainan komputer yang terbaru yang kosnya mencecah ribuan ringgit. Aku mahu membuat bilik bacaan aku sendiri. Aku mahu membeli motosikal besar. Aku mahu membeli konsol-konsol permainan baru yang aku telah ketinggalan seperti XBox 360 dan PS3.

Nanti bila bekerja pastilah kereta menjadi keperluan. Kemudian bila aku semakin tua aku akan perlu membeli rumah. Bagi yang berminat dengan kereta pastilah inginkan kereta-kereta import yang harganya mahal macam jahanam di Malaysia ini. Bila sudah memiliki kereta mungkin ada yang gilakan modifikasi. Ada yang gilakan telefon-telefon bimbit yang canggih dan harga beribu meskipun buta teknologi. Bagi yang bernama wanita pastilah sebilangannya inginkan mekap-mekap yang harganya bukan saja beratus malah beribu. Baju dan pakaian juga bukan murah harganya ditambah lagi dengan obsesi kita terhadap penjenamaan. Walhal kain tetap juga kain. Tidak mungkin ada kain kapan berjenama Gucci atau Adidas. Walaupun ada, tapi mungkin bukan di sini. Jika ada pun, terima kasih.

Jika hendak aku panjang lebarkan lagi, pasti tulisan ini akan menjadi lesu dan membosankan. Terlalu banyak yang kita mahukan, kita inginkan yang sekarang kita impikan. Dari kita kecil hingga dewasa, tidakkah kita dibesarkan dan dididik dengan segala kemahuan ini? Bukan salah ibubapa. Kita hidup dalam sebuah dunia yang mendambakan benda-benda seperti ini. Bermula dari permainan kuda plastik atau masak-masak buatan China, kereta kawalan jauh, kepada Playstation, komputer riba jenama Vaio dan kereta-kereta yang dimodifikasi. Tanpa kita sedar, kita kini terlalu banyak berusaha mendapatkan apa yang kita mahukan lebih dari apa yang kita perlukan. Seperti mekap yang bagiku tidak begitu perlu bagi seorang wanita. Yang pasti, aku juga tidak terkecuali, aku juga adalah produk zaman ini.

Sekian, terima kasih.

2 Comments:

- said...[Reply]

interesting post, some are fact, what course are you taking in shah alam?

Valossa Vicious said...[Reply]

Thanks for visiting my blog! I'm in TESL course. How about you?