Selamat Tahun Baru Cina, by the way. Sudahkah anda memakan limau Mandarin sehingga keracunan vitamin C? Jika belum berkesempatan, teruskan lagi.
Semasa sibuk mengunyah limau Mandarin mataku ralit menumpu pada kaca televisyen.
Semasa orang disini ber-dam-dam-dum dengan bunyi mercun dan dam-dam-dum bunyi gendang tarian singa, orang disitu ber-dam-dam-dum dengan bunyi letupan trak, balai polis, kenderaan awam dan peledak buatan tangan.
Semasa orang disini ceria dengan hiruk-pikuk tawa gembira sempena perayaan yang setahun sekali tiba, orang disana mungkin ceria juga dengan hiruk-pikuk jeritan revolusi, mencari arah untuk pengakhiran kukubesi yang tak kunjung tiba. 30 tahun, 30 tahun Hosni Mubarak.
Kukubesi? Mungkin tidak kukubesi bagi sesetengah. Tapi kukubesi juga tidak selalu bermaksud fizikal. Kukubesi kadang-kadang sesuatu yang tidak ternampak pada mata kasar tapi bertindak melalui jaringan halus yang dipanggil birokrasi, juga demokrasi. Ah apapun semua orang mahu menjadi kaya dan berkuasa, tidak begitu?
Malang, bagi sesiapa yang berada di tempat yang salah dan waktu yang salah. Malang, kerana semua itu tidak dirancang tapi itukan aturan dunia? Siapa yang dapat meramal revolusi? Bukan Tunisia yang harus dituding jari telunjuk, kerana hati yang membara itu seperti suis lampu yang menunggu untuk dipetik. Nah sekarang ia sudah menyala, bukan seperti lampu kalimantang tapi seperti lampu minyak tanah yang sudah melimpah.
Revolusi itu tidak selalu indah. Perubahan itu tidak selalunya nikmat, tidak juga selalunya baik, dan tidak juga selalunya berhasil dengan sesuatu yang lebih baik. Tapi naluri manusia itu mahu berubah kerana jika tidak itu bukan manusia, tapi cimpanzi. Maka tercetuslah revolusi. Revolusi itu perlu, kerana manusia itu cacamarba, kerana manusia itu tidak mampu untuk menampung kuasa, tidak mampu untuk menampung nafsu.
Revolusi itu kadang tak terbayar harganya. Dan lebih selalu dari tidak revolusi itu dibayar dengan darah. Kejamnya realiti, revolusi tidak akan selalu menepati janjinya untuk membawa sesuatu yang lebih baik. Tapi naluri membuat ianya perlu, sama seperti keperluan untuk menukar kasut yang sudah menampakkan ibu jari kakimu tersenyum (melainkan kau suka ibu jarimu tersenyum).
Buku yang kita pernah baca kadang-kadang berkata, manusia itu sama tarafnya, semua punya suara, semua berdiri di tanah yang sama tinggi, sama rendah. Tapi benarkah? Jika begitu mengapa ada manusia yang terpaksa men-dam-dam-dum-kan dirinya dengan bom tangan hanya kerana mahu suaranya didengar? Tidak cukup lantangkah suaranya meraung? Tidak cukup nyatakah kewujudannya sebagai seorang yang punya jasad bernyawa?
Hairan, dunia itu cacamarba. Mungkin kerana itulah kadang-kadang berita dunia itu lebih jenaka dari rancangan lawak bodoh di kaca televisyen.
![]() |
| Ini tarian Cha Cha. |


